Bolehkah solat di dalam kereta api? Ini Jawapan Ringkas Mufti

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Peribahasa ini menggambarkan pegangan beberapa individu yang gambarnya sedang solat di dalam kereta api tular dalam media sosial baru-baru ini.

Mungkin dek tuntutan kerja, mereka tidak ada pilihan melainkan terpaksa menunaikan solat secara berjemaah di dalam kereta api. Cuma persoalannya, bolehkah solat dilakukan dalam keadaan sedemikian?

Gambar tular dalam media sosial mengenai segelintir umat Islam menunaikan solat dalam tren dipercaya
Gambar tular dalam media sosial mengenai segelintir umat Islam menunaikan solat dalam tren dipercaya transit aliran ringan baru-baru ini.

Menurut Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, solat dalam kenderaan seperti kereta api dan kapal terbang adalah dibolehkan.

“Pada awalnya, jika kita tahu, cari arah kiblat dahulu. Selepas itu, boleh teruskan solat walaupun kereta api bergerak dan arah kiblat sudah bertukar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, gambar sekumpulan lelaki yang dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja sedang solat secara berjemaah dalam kereta api tular dalam media sosial.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, kesungguhan lelaki-lelaki itu menunaikan solat walaupun dalam keadaan yang tidak selesa menunjukkan perkembangan yang sihat berlaku dalam masyarakat.

Kata beliau, malah lebih baik sekiranya pihak pengendali kereta api mampu membina surau dalam keadaan yang bersesuaian.

“Kalau ada peluang (untuk bina surau) baguslah, tetapi jika tidak ada pun, masing-masing tahu menunaikan tanggungjawab masing-masing, itu bagus. Satu perkembangan yang sihat,” katanya.

Sumber- UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *