Murid Lain Buka Stoking, Tapi Dia Tidak. Ustaz Ini Kongsi Sebab Murid Tahun 4 Berbuat Demikian.

Sejuk hati ibu mengandung dan tenang si ayah membesarkan apabila anak-anak berjaya menutup aurat dengan sempurna.

Apatah lagi dalam usia muda..anak-anak ini sudah memahami dan mengerti betapa salah satu tuntutan dalam agama Islam, adalah menutup aurat.

Perkongsian saudara Fikri Zaradi mengenai murid tahun 4 wajar dipuji.

Dalam usianya 10 tahun, murid tersebut sudah diberi pendedahan mengenai kewajiban menutup aurat.

Mari ikuti kisah menarik daripada Fikri Zaradi.

**********

SESUATU YANG PATUT DIKAGUMI

Baru-baru ini kita ditularkan dengan telatah kanak-kanak yang baru sahaja memasuki alam persekolahan terutamanya video tentang seorang kanak-kanak petah berbahasa Inggeris menjawab soalan wartawan.

Jelas terpancar keseronokan dan keterujaan pada gaya kanak-kanak itu memberi respon. Rata-rata netizen (pelayar) berasa kagum dan teruja dengan kepetahan kanak-kanak itu berbahasa Inggeris. Sesuatu yang patut dikagumi!!

Aku terus teringat kenanganku menjadi guru ganti di kompleks sekolah Putrajaya.

Ketika itu, aku ditugaskan mengajar murid tahun 4 untuk sekolah agama.

Menjadi guru ini bukanlah perkara mudah sebenarnya, memerlukan kepada teknik berkomunikasi yang baik dan bijak dalam mengawal keadaan kelas yang hampir mencecah 30 murid bagi setiap kelas. Jika gagal menguasai kedua-dua teknik ini, kelas akan menjadi huru-hara dan sukar dikawal.

Namun, bukanlah teknik mengajar yang ingin aku kongsi kan hari ini kerana pengalamanku tidak cukup hebat jika di banding dengan guru-guru lain.

Akan tetapi, aku ingin berkongsi cerita mengenai salah seorang murid perempuan yang pada aku, ada sesuatu yang patut dikagumi padanya.
Murid perempuan yang aku maksudkan ini sangat menjaga penampilannya.

Kemas dan sentiasa bersih.

Tidak seperti murid sekolah rendah yang lain.

Tudungnya sentiasa kemas tidak senget, rambut tidak terkeluar dan baju bersih tiada kesan-kesan makanan tumpah seperti ais krim dan air milo.

Dari segi keperibadiannya pula, dia agak pendiam dan tidak “mengada-ngada” apabila bersama murid lelaki.
Selain itu, ada satu perkara lagi yang menarik perhatian dan menimbulkan kata tanya kepada diriku.

Kelas mereka perlu membuka kasut kerana telah dihiasi dengan tikar getah dalam usaha menceriakannya.

Maka setiap kali mahu masuk kelas tersebut murid-murid akan membuka kasut termasuk guru yang mengajar pada waktu itu.

Kebanyakan murid akan membuka stoking mereka juga dengan alasan panas dan sukar untuk bergerak tetapi tidak bagi murid perempuan yang sedang kita bincangkan ini. Jadi aku tertanya-tanya, adakah dia tidak membuka stoking nya kerana tahu bahawa kaki itu aurat??

Nak dijadikan cerita, pada suatu hari aku mengajar kelas terebut.

Kelas ku bermula sebaik sahaja selepas rehat.

Menjadi kebiasaan, murid-murid akan memanfaatkan waktu rehat mereka dengan bermain sehingga waktu tamat.

Kebetulan pula ketika itu murid perempuan bermain kejar- kejar di belakang kelas dan murid lelaki bermain di kelas yang lain.

Apabila aku masuk, mereka berhenti bermain dan terus menuju ke tempat masing-masing.

Ketua kelas memberi salam dan bacaan doa dibaca beramai-ramai.

Aku arahkan mereka duduk dan keluar kan buku yang akan dipelajari.

Aku mengelilingi kelas tersebut untuk memastikan semua duduk di tempat masing-masing dan bersedia dengan buku di atas meja.

Tiba-tiba aku melihat murid perempuan yang kita bincang tadi sedang memakai stokingnya.

Disebabkan bermain keja-kejar tadi, dia tidak sempat memakai stokinnya.

Apabila dia perasan bahawa aku lalu di sebelahnya, dia menyorokkan kaki ke dalam kainnya.

AKU TERSENTAP!! persoalan aku sebelum ini terjawab.

Dia masih memakai stoking sebelum ini kerana dia tahu bahawa itu aurat.

Dia telah di tarbiah oleh ibu bapanya dengan baik.
Ibu bapanya mesti telah menerangkan kepada dia batasan aurat dan juga batasan pergaulan. Untuk peringkat umur yang begini,

INI ADALAH SESUATU YANG PATUT DIKAGUMI!!

Bayangkan jika anak-anak dara di tarbiah dengan kefahaman Islam sebegini. Pastinya tidak ada perempuan yang hilang rasa malu pada diri nya. Pastinya tidak ada perempuan yang menari dan dimuat naik secara langsung di media sosial seperti instagram, snapchat, biggo dan tik tok.

Jadi aku terfikir apa salahnya jika aku beri tarbiah yang sama pada murid kelas tersebut juga??

Lalu aku terus ke hadapan kelas dan berkata sebelum memulakan pembelajaran:

“Mulai hari ini, ustaz nak yang perempuan masuk kelas ni kena buka kasut tapi tak perlu buka stoking, nanti nampak kaki. Sebab kaki itu auuuuu… “

“………..”

mereka terpinga-pinga

“Sebab kaki itu AURAT” aku menyambung
“OUH~~…..” mereka mula memahami.

Sumber: Facebook Fikri Zaradi via GPS Bestari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *