Pernah Korang Order Milo Rasa Tapi Rasa Macam Serbuk Coklat? Ini Hukumnya Dari Pandangan Mufti

Tidak dinafikan air Milo yang dijual di kedai kopi atau restoran sangat digemari rakyat Malaysia. Walaupun sedikit mahal daripada minuman jenis lain, namun ia tetap menjadi pilihan apatah lagi rasanya yang lemak, pekat dan enak.

Namun tahukah anda sesetengah pemilik kedai kopi atau restoran tidak menggunakan sepenuhnya serbuk Milo. Mereka telah mencampurkan serbuk Milo dengan serbuk coklat yang lebih murah untuk meraih keuntungan tanpa pengetahuan pelanggan.

Menjawab persoalan daripada seorang netizen berkenaan hukum peniaga yang mencampurkan serbuk Milo dan serbuk coklat yang lebih murah harganya, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan ia adalah haram dan berdosa

Image result for datuk seri dr zulkifili mohamad al-bakri

Ini kerana terdapat unsur penindasan dan kezaliman terhadap hak yang sepatutnya diterima oleh pembeli sebagai imbalan kepada harga pembelian yang dibayar. Selain itu, syarat sah jual beli juga ialah, kedua-dua pihak (penjual dan pembeli) mengetahui secara jelas barang yang diniagakan tanpa menyembunyikan apaapa ‘aib yang ada pada barangan yang diniagakan itu.

Justeru, sekiranya perkara-perkara seperti di atas berlaku, maka penjual dikira telah menipu dan akad pembelian tersebut adalah tidak sah.

Kami cadangkan kepada pengusaha kedai kopi supaya sentiasa bertekad untuk meraih keberkatan dalam mendapat rezeki sebagaimana yang selalu kita doakan ketika membaca doa qunut. Syarat sah jual beli juga menetapkan bahawa penjual dan pembeli mengetahui dengan jelas barang yang diniagakan.

Dalam situasi ini, pembeli tidak mengetahui pertukaran tersebut sehinggalah barang tersebut diterima. Justeru, perbuatan tersebut adalah haram dan dilarang sama sekali.

Tambahnya lagi, konsep keuntungan dalam Islam bukanlah diperolehi dengan cara menipu atau muslihat, tetapi dengan cara reda-meredai.

AL-KAFI #1088: HUKUM TAUKE KEDAI MAKAN MENUKAR SERBUK COKLAT YANG LEBIH MURAH

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Apakah hukum sekiranya tauke sesebuah kedai makan menukarkan serbuk Milo dengan serbuk Coklat yang lebih murah harganya dalam meningkatkan keuntungan? Mohon pejelasan Dato’ Seri Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Mu’amalah jual beli di dalam agama Islam adalah harus dan dibolehkan. Islam juga tidak melarang umatnya untuk mendapatkan keuntungan yang tinggi dalam setiap jual beli yang dijalankan. Namun begitu, Islam meletakkan garis panduan yang jelas agar mu’amalah yang dijalankan selari dengan kerangka syariat yang ditetapkan.

Antara syarat sah jual beli ialah saling reda meredai antara penjual dan pembeli. Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”
(Surah al-Nisa’: 29)

Syeikh al-Maraghi berkata: Jual beli mestilah dijalankan dengan prinsip saling reda-meredai antara penjual dan pembeli. Oleh sebab itu, kecurangan, pendustaan dan pemalsuan merupakan perbuatan yang diharamkan dalam jual beli.

Maksud ‘batil’ dalam ayat ini bermaksud mengambil harta harta orang tanpa imbalan yang sewajarnya atau kerelaan pemiliknya atau dengan cara tipu daya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1168-1169)

Dalam satu hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri R.A, Nabi SAW bersabda:
إِنَّمَا الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya jual beli itu dengan cara sukarela.”
Riwayat Ibn Majah (2185)

Jual beli yang harus dan menepati syarak memberi kesan dan implikasi akan bertukar pemilikan dengan syarat berlaku keredaan antara pembeli dan penjual. Berlainan pula jika dengan paksaan. Ia tidak dianggap memberi kesan tetapi barang jualan tetap milik penjual. Jika sekiranya berlaku bentuk jual beli dengan adanya akad yang diredhai bersertakan syarat dan mengikut syarak, maka dianggap muktabar. Ini kerana keredaan adalah perkara yang tersembunyi. (Lihat Masabih al-Tanwir ‘ala Sahih al-Jami’ al-Saghir, 1/425)

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:
أَنّ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه وسلم مَرّ عَلَى صُبْرَةِ طَعَامٍ، فَأَدْخَلَ يَدَهُ فِيهَا، فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلاً. فَقَالَ: “مَا هَذَا يَا صَاحِبَ الطّعَامِ؟” قَالَ: أَصَابَتْهُ السّمَاءُ يَا رَسُولَ اللّهِ! قَالَ: “أَفَلاَ جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النّاسُ، مَنْ غَشّ فَلَيْسَ مِنّي”.
Maksudnya: “Bahawa Rasul SAW melalui setumpuk makanan lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalamnya, kemudian tangan Baginda menyentuh sesuatu yang basah. Maka Baginda pun bertanya: “Apakah ini wahai pemilik makanan?” Pemilik makanan menjawab: “Makanan tersebut terkena air hujan wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Mengapa kamu tidak meletakkan bahagian yang basah ini di atas supaya manusia dapat melihatnya, siapa yang menipu, maka dia bukan dariku.”
Riwayat Muslim (102) dan al-Tirmizi (1315)

Larangan terhadap amalan menipu dalam perniagaan amat jelas dalam hadis di atas. Perbuatan menukarkan serbuk milo kepada serbuk coklat yang lebih murah tanpa pengetahuan pembeli bagi mengaut keuntungan yang lebih tinggi adalah dikira sebagai menipu dan curang dalam perniagaan. Syarat sah jual beli juga menetapkan bahawa penjual dan pembeli mengetahui dengan jelas barang yang diniagakan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/13)

Dalam situasi ini, pembeli tidak mengetahui pertukaran tersebut sehinggalah barang tersebut diterima. Justeru, perbuatan tersebut adalah haram dan dilarang sama sekali.

Konsep keuntungan dalam Islam bukanlah diperolehi dengan cara menipu atau muslihat, tetapi dengan cara reda-meredai. Sekiranya, jual beli berlaku dengan cara yang tidak betul (menipu dan sebagainya), sudah pasti pembeli tidak lagi mahu mengulangi muamalah jual beli dengan penjual yang sama. Keuntungan juga boleh diperolehi dengan cara kepandaian, kecergasan dan ketelitian ketika bermuamalah.

Kesimpulan

Kesimpulan yang dapat kami simpulkan ialah, hukum perbuatan menukarkan serbuk milo dengan serbuk coklat yang lebih murah tanpa pengetahuan pelanggan adalah dilarang dan berdosa. Ini kerana terdapat unsur penindasan dan kezaliman terhadap hak yang sepatutnya diterima oleh pembeli sebagai imbalan kepada harga pembelian yang dibayar. Selain itu, syarat sah jual beli juga ialah, kedua-dua pihak (penjual dan pembeli) mengetahui secara jelas barang yang diniagakan tanpa menyembunyikan apa-apa ‘aib yang ada pada barangan yang diniagakan itu. Justeru, sekiranya perkara-perkara seperti di atas berlaku, maka penjual dikira telah menipu dan akad pembelian tersebut adalah tidak sah.

Kami cadangkan kepada pengusaha kedai kopi supaya sentiasa bertekad untuk meraih keberkatan dalam mendapat rezeki sebagaimana yang selalu kita doakan ketika membaca doa qunut:
وَبَارِكْ لَنا فِيمَا أَعْطَيْتَ
Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka minda dan kefahaman kita dalam memahami syariat Islam dengan lebih baik pada masa hadapan. Amin.

Sumber: FB Mufti Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *