“Walaupun Dari DAP, Dia Melayu, Islam, Graduan Agama, Apa Masalahnya?”-Guan Eng Ulas Isu Perlantikan YADIM

Terdahulu, Senarai didakwa Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim baharu

Senarai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim pada era Barisan Nasional dan Pakatan Harapan yang terseb

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Satu senarai yang didakwa sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang baharu tersebar di media sosial.

Dalam senarai itu calon Pilihan Raya Umum dari Amanah, Nik Omar Nik Abdul Aziz didakwa sebagai Yang Dipertua Yadim sementara Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah, Zolkharnain Abidin pula merupakan Timbalan Yang Dipertua Yadim.

Sepuluh Ahli Lembaga Pemegang Amanah juga didakwa terdiri daripada lantikan politik termasuk Ahli Dewan Udangan Negeri Paloh, Sheikh Omar Baghrib Ali yang merupakan ahli DAP.

Turut berkongsi senarai itu adalah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di Facebook beliau yang mempersoalkan pelantikan tersebut.

“Mana dia janji-janji Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kononnya tiada lagi lantikan politik dalam agensi-agensi Kerajaan, Badan-badan Berkanun, GLC atau yayasan berkaitan kerajaan?

“Terkini, hampir semua lantikan baru Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia terdiri daripada penjawat-penjawat jawatan parti dari kalangan Amanah, PPBM, PKR dan DAP,” kata Asyraf Wajdi.

Dalam hantaran itu Asyraf Wajdi turut berkongsi senarai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim yang dilantik ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional.

“Boleh lihat perbandingan dengan waktu zaman BN dulu, hanya seorang sahaja yang terlibat aktif dengan politik, itupun atas kapasiti Menteri Agama Sabah, yang lain merupakan tokoh akademik, mufti, agamawan dan bekas-bekas pegawai kanan kerajaan.

“Mungkin inilah acuan Malaysia Baharu Rahmatan Lil Alamin model kekanda YB Dr. Mujahid Yusof Rawa,” kata Asyraf Wajdi.

Sinar Harian semalam melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa yang ditugaskan menjaga hal ehwal Islam mengesahkan Sheikh Omar Ali dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim selepas beberapa portal berita melaporkan pelantikan anggota DAP itu.

Sementara itu semakan di laman sesawang Yadim di http://www.yadim.com.my mendapati senarai Ahli Lembaga Pemegang Amanah masih lagi nama pelantikan lama.

Sumber-UTUSAN ONLINE

Dia Islam, kenapa tak boleh dilantik dalam YADIM – Guan Eng

KUALA LUMPUR: Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh dari DAP, Sheikh Omar Ali, dalam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) tidak sepatutnya menimbulkan kontroversi kerana beliau berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata pelantikan Sheikh Omar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif negeri Johor itu tidak sewajarnya dipertikaikan semata-mata kerana beliau ahli DAP.

Katanya, jika individu dilantik itu bukan beragama Islam, maka pertikaian yang ditimbulkan UMNO, PAS dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mungkin boleh difahami.

“Beliau seorang Melayu dan Islam, apa masalahnya (untuk dilantik sebagai ahli lembaga pemegang amanah YADIM), kecualilah (pelantikan) dikaburi oleh kepentingan politik.

“Sheikh Omar ini ahli Exco kerajaan negeri Johor dan juga seorang graduan agama. Jika dia boleh dilantik sebagai Exco yang diperkenan oleh Sultan Johor, kenapa tidak boleh dilantik sebagai ahli lembaga pemegang amanah mana-mana pertubuhan Islam.

“Saya lihat ini hanyalah semata mata serangan politik. Saya rasa tak payah buang masa layan pandangan sebegini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup 8TV CNY Grand Bazar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Kamal Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Johan Ishak.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan menyifatkan pelantikan Sheikh Omar itu menggambarkan institusi Islam mula dirobek kerajaan yang didominasi DAP, manakala Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pula mendakwa YADIM bakal dicorakkan DAP.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, yang mengesahkan pelantikan Sheikh Omar, menegaskan ia tidak sepatutnya mencetuskan kontroversi kerana pelantikan itu berdasarkan kelayakan dimilikinya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Guan Eng yakin ekonomi akan bertambah baik pada masa depan serta rakyat akan mendapat manfaat hasil pentadbiran kerajaan yang bersih.

“Kerajaan ini tidak mencuri duit rakyat, sebaliknya rakyat yang akan dapat duit,” katanya.

8TV CNY Grand Bazaar yang pertama kali diadakan secara besar-besaran, berjaya menarik kira-kira 400,000 pengunjung selama 19 hari penganjurannya, berakhir esok.

Program itu juga berjaya menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) dengan menampilkan persembahan tarian singa dengan paling banyak singa.

Sumber: bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *